Friday, November 9, 2018

TAJUK 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH


TAJUK 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH

  1. PENDAHULUAN
Pengurusan bermaksud satu proses mendapatkan penyertaan, kerjasama, dan campur tangan ahli untuk mencapai objektif-objektif organisasi atau kumpulan, gerak kerja termasuk proses merancang, mengelola, memimpin, mengarah dan mengawal. Bilik darjah merupakan tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran dan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seorang guru. Pengurusan bilik darjah dinamik ke arah pembinaan modal insan yang seiring dengan falsafah pendidikan negara iaitu pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Pengurusan bilik darjah memerlukan pelbagai pengetahuan, kemahiran, prosedur, teknik dan strategi. Guru seharusnya memiliki gaya kepimpinan, kemahiran merancang, kecekapan mengurus, kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran, kebijaksanaan interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan mampu mengendalikan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).

  1. ISI PENTING
Antara isi penting yang telah saya pelajari dalam tajuk pengurusan bilik darjah ini ialah:
a)      Aktiviti pengajaran berkumpulan
Kaedah pengajaran yang memerlukan pelajar menjalankan aktiviti berkumpulan, pengelompokan murid dibuat berdasrkan peringkat kebolehan, pelbagai kebolehan  dan minat. Kebiasaannya terdapat tiga  peringkat murid, iaitu cerdas, sederhana dan lemah.Antara prinsip pengajaran berkumpulan ialah guru bersedia menghadapi pelbagai situasi dan perhatian guru adalah sama rata kepada semua kumpulan. Tujuannya adalah untuk menggalakkan penglibatan aktif pelajar, memupuk rasa bertanggungjawab serta murid yang cerdas dan pandai dapat membantu pelajar yang lemah.
b)      Penyediaan bahan pengajaran
Bahan pengajaran ialah apa sahaja yang digunakan dalam pengajaran merangkumi alat dan isi pelajaran. Terbahagi kepada dua iaitu bahan hidup dan bahan bukan hidup . Bahan hidup ialah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Manakala untuk bahan bukan hidup ialah elektronik (audio dan visual), bukan elektronik (bahan cetak), bahan-bahan dimensi (semulajadi dan buatan manusia). Ia berfungsi sebagai rangsangan untuk mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna dan membantu murid memahami apa yang diajar.
c)      Pengurusan Sumber
Satu proses memilih, menyusun, mengguna dan menyimpan bahan serta alat supaya proses pengajaran dan pembelajaran sempurna. Segala bahan dan alat yang dapat membantu guru mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pengurusan sumber bertujuan untuk mewujudkan suasana dan persekitaran pendidikan yang hidup dan mencabar dan menimbulkan minat dan semangat untuk murid belajar. Contohnya ialah, untuk buku terdapat rak buku terbuka.

  1. RUMUSAN
Kesimpulannya, sebagai seorang insan bergelar guru, kita hendaklah mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan bilik darjah dan cara menguruskannya supaya kita dapat membina organisasi di dalam kelas dengan baik. Guru juga harus bijak dalam memikirkan cara mengatasi masalah disiplin yang pelbagai yang sering berlaku di dalam bilik darjah. Seterusnya, penting untuk seseorang guru mengetahui latar belakang dan minat pelajar agar pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan berkesan.

  1. RUJUKAN
·         Haliza Hamzah. (2014). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Selangor: Oxford Fajar Sdn.Bhd.

No comments:

Post a Comment